NASIONAL

Dewan Rakyat lulus RUU Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Rang Undang-Undang (RUU) Perlindungan Pengguna (Pindaan) 2019, bertujuan antaranya bagi meningkatkan hukuman terhadap mana-mana orang yang gagal mematuhi ‘award’ dibuat Tribunal Tuntutan Pengguna (Tribunal), diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, pindaan terhadap Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) berkenaan, secara tidak langsung akan memaksa peniaga bertindak lebih adil kepada pengguna.

“Mana-mana peniaga yang gagal selepas 14 hari untuk mematuhi sesuatu award yang dibuat oleh Tribunal melakukan satu kesalahan, apabila disabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-dua sekali,” katanya.

Beliau berkata, peniaga yang enggan membayar jumlah award yang dikeluarkan Tribunal, boleh dikenakan penalti tambahan iaitu tidak kurang daripada RM100 dan tidak melebihi RM5,000 setiap hari.

Tribunal yang ditubuhkan sejak 15 November 1999 berperanan menyediakan saluran alternatif kepada pengguna, untuk menuntut hak secara tebus rugi dan menyelesaikan pertikaian dengan cara lebih mudah.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu bagi bacaan kali kedua, Chong berkata RUU itu juga bertujuan meningkatkan had nilai bidang kuasa Tribunal daripada RM25,000 kepada maksimum RM50,000.

Beliau berkata peningkatan had nilai bidang kuasa itu perlu, bagi memastikan peranan serta fungsi Tribunal kekal relevan mendepani cabaran isu-isu pertikaian dan tuntutan kepenggunaan di negara ini.

Katanya pindaan terakhir terhadap Akta 599 dibuat 16 tahun lepas, untuk menaikkan had nilai bidang kuasa Tribunal daripada RM10,000 kepada RM25,000.

Sidang dewan bersambung esok. – BERNAMA


Pengarang :