Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyerahkan replika cek sumbangan berjumlah RM500,000 kepada Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Fahda Nur Ahmad Kamar dalam Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (Bantuan Khas ANIS) berlangsung di SUK Selangor.
SELANGOR

Didik AnIS bantu kos pendidikan anak keperluan khas

SHAH ALAM, 19 JUL: Kerajaan Negeri mewujudkan program Didik Anak Istimewa Selangor (AnIS) bagi membantu mengurangkan kos pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas di pusat intervensi awal di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan kewangan dalam bentuk subsidi yuran sebanyak RM200 akan diberi kepada anak-anak istimewa melalui pembiayaan terus kepada pusat intervensi terbabit setiap bulan.

Katanya, program digerakkan bersama Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS) menggariskan beberapa panduan dan syarat sebelum pusat intervensi berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kebanyakan yuran untuk mereka kurang berkemampuan memang rendah dan sekolah memberi subsidi kepada anak-anak istimewa melalui peruntukan yang akan disalurkan Kerajaan Negeri.

“Pusat intervensi awal kanak-kanak berkeperluan khas tidak dapat lari daripada kos selenggara tinggi kerana sistem sokongan dan peralatan khas dalam menyediakan prasarana lengkap tidak mungkin dapat mengurangkan bebanan yuran kepada ibu bapa, jadi subsidi ini sekali gus dapat menaikkan fasiliti pendidikan sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Anak Istimewa Selangor (AnIS) 2019 di Foyer SUK di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Mohamad Hanafi Maulud dan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Gan Pei Nei.

Difahamkan sehingga kini, 11 Pusat Intervensi sudah mengemukakan permohonan daripada 152 orang AnIS secara keseluruhan.

Sementara itu, Siti Mariah berkata, pihaknya mahu empat pusat intervensi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat mengambil anak berkeperluan khas bagi membolehkan aksesibiliti terhadap anak jagaan yang sukar dan jauh dari lokasi mereka.

“Kawasan bandar mudah kita dapat, namun masalah adalah kawasan luar bandar kerana mungkin mereka belum mengetahui tetapi kita akan terus mencuba sedaya upaya untuk adakan di setiap DUN.

“Kita tidak mahu anak istimewa ini terpinggir kerana mereka selayaknya mendapat perhatian dan masyarakat juga perlu menjadi ‘enabler’ daripada ‘disable’ golongan ini,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :