BERITA UTAMA

Doa buat Yang di-Pertuan Agong

SHAH ALAM, 30 JUL: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari mendoakan semoga ALLAH SWT merahmati dan memberkati pemerintahan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ucapan itu dibuat beliau melalui laman instagram peribadinya sempena Istiadat Pertabalan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Istana Negara, hari ini.

“Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya lagi.

Istana Negara hari ini menyaksikan satu lagi peristiwa penting dalam lipatan sejarah tanah air apabila Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam istiadat yang berlangsung penuh tradisi mengikut adat Raja-Raja Melayu.

Istiadat gilang-gemilang yang mengangkat kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Tertinggi Negara itu bermula tepat 10.45 pagi ini sebaik Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat masuk ke Balairung Seri, Istana Negara bagi memulakan istiadat.

Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lepas bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan 6 Januari lalu.

Seri Paduka yang dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari menggantikan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari.


Pengarang :