Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
NASIONAL

Dr Dzulkefly: Pakar disaran berhati-hati keluar kenyataan

KUALA LUMPUR, 1 JUL: Golongan pakar dalam pelbagai bidang disaran supaya mengehadkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat berhubung isu pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya tetap menghormati pandangan serta kepakaran semua pihak dan mengalu-alukan bantuan mereka dalam menghadapi situasi itu.

“Saya menghormati pandangan mereka tetapi cuma ingin nasihatkan kalau boleh jangan ambil pendekatan yang boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Penyelidikan dan Kualiti Pegawai Dietetik 2019 (DQRC2019) di sini, hari ini.

Beliau mengulas pandangan seorang pensyarah kanan universiti tempatan semalam yang menyatakan gas akrilonitril yang dikesan dalam pencemaran itu mempunyai sifat karsinogenik yang boleh memberi kesan sampingan termasuk risiko menghidap kanser jika seseorang itu terdedah kepada gas itu setiap hari atau bagi tempoh yang panjang.

Baru-baru ini, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memaklumkan gas akrilonitril serta dua lagi gas iaitu akrolein dan metil merkaptan dikesan di kawasan Pasir Gudang itu.

Sesetengah pelajar dan segelintir guru di Pasir Gudang dilaporkan menghadapi masalah sesak nafas, loya dan muntah-muntah dipercayai susulan pencemaran udara sejak 20 Jun lalu, selepas insiden pembuangan sisa kimia di Sungai Kim Kim tiga bulan lepas.

Sementara itu, mengulas mengenai konvensyen berkenaan, Dr Dzulfkefly berkata kementerian meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 4,000 pegawai dietetik di seluruh negara menjelang 2030.

Katanya, jumlah ini akan menjadikan nisbah pegawai dietetik kepada 10 bagi setiap 100,000 penduduk berbanding nisbah 2 :100,000 ketika ini. – BERNAMA


Pengarang :