CYBERJAYA, 17 Julai — Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali (tengah) menerima Anugerah Pencapaian Seumur Hidup dari Pengerusi Komuniti Anugerah 2019 Fahmi Ali Al Jowder (kiri) dan Pengasas The Asia HRD Awards Tan Sri Dr R Palan (kanan) pada The Asia HRD Awards 2019 di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya semalam. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA
BERITA UTAMA

Dr Siti Hasmah terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat HRD Asia

CYBERJAYA, 17 JULAI: Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Pembangunan Sumber Manusia Asia (HRD) pada majlis penyampaian Anugerah HRD Asia 2019 di Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, di sini malam tadi.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan semasa majlis itu, anugerah berkenaan bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang Dr Siti Hasmah kepada pembangunan sektor kesihatan awam di Malaysia.

“Dr Siti Hasmah adalah perintis dalam pelbagai hal dan sering meraih kedudukan pertama dalam beberapa bidang di Kementerian Kesihatan.

“Beliau menerajui pelbagai jawatan kepimpinan termasuk Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia, Presiden Yayasan Persatuan Perubatan Malaysia dan Presiden Persatuan Pemulihan Orang-Orang Cacat, ” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata, usaha dan inisiatif Dr Siti Hasmah secara berterusan tanpa mengenal erti penat dalam pemupukan kesedaran kesihatan awam dan kawalan penyalahgunaan dadah memang tidak dapat ditandingi.

“Dr Siti Hasmah adalah perintis dan model inspirasi bagi wanita di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Dr Siti Hasmah tampil sebagai seorang yang telah memberi impak besar kepada negara dengan keberanian, ketabahan dan kekuatan dalam perwatakan,” katanya.

Beliau yang menitiskan air mata pada akhir ucapan penerimaannya berkata, pencapaiannya adalah disebabkan bapanya, Allahyarham Mohd Ali Taib, yang memaksanya memasuki sekolah perubatan dan meletakkannya berada pada kedudukan hari ini.

“Kalaulah boleh beliau dapat menyaksikan saya menerima anugerah pada malam ini,” kata Dr Siti Hasmah.

Pada acara itu, para tetamu turut menyanyikan lagu selamat hari lahir kepada Dr Siti Hasmah yang menyambut hari lahirnya yang ke-93 tahun pada Jumaat lalu (12 Julai).

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada individu yang menggalakkan usaha pembelajaran atau menerajui inisiatif yang memberi impak kepada rakyat dalam cara yang signifikan.

Penerima terdahulu anugerah tersebut termasuk bekas Presiden Republik Filipina, Fidel Ramos dan bekas Perdana Menteri Bosnia Dr Haris Silajdzic.

-BERNAMA


Pengarang :