SELANGOR

Dr Xavier selami masalah Orang Asal

SHAH ALAM, 31 JUL : Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar menganjurkan sesi Pendengaran Awam bagi mendekati kumpulan Orang Asal untuk mendengar permasalahan yang dihadapi golongan itu.

Dr Xavier berkata, antara isu yang dikemukakan ialah berkenaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Katanya, turut dibincangkan ialah peruntukan buat Orang Asal yang dikawal Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), prasarana sekolah dan harga kelapa sawit.

“Ini adalah program yang sangat positif dan menunjukkan kepada masyarakat Orang Asal bahawa Kerajaan Negeri dan Pusat prihatin terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan.

Program yang turut melibatkan 15 wakil kampung Orang Asal itu adalah anjuran Pejabat Ahli Parlimen Kuala Langat.

Xavier yang juga Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, hasil perbincangan turut mengumumkan 15 permohonan untuk tanah Orang Asal sudahpun diluluskan Kerajaan Negeri .

“Kita juga akan memberi fokus kepada bidang pendidikan anak Orang Asal memandangkan masih banyak sekolah yang daif,” katanya.


Pengarang :