Gambar Hiasan
NASIONAL

Dua beradik mati lemas dalam parit

PARIT BUNTAR, 3 JULAI: Dua beradik ditemukan mati lemas dalam parit berhampiran rumah mereka di Kampung Kuala Bagan Tiang dekat sini, semalam.

Mangsa Nor Ayuni Najatul Abdul Az Zahir, 8, dan kakaknya Nor Anisa Najwa Mohd Zaki, 10, ditemukan dalam parit yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah mereka oleh penduduk kampung pada 6 petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian DSP Sanusi Salleh berkata kedua-dua adik beradik tiri itu bermain di kawasan parit tersebut selepas pulang dari sekolah agama berdekatan.

Sanusi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat.

Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Zaki Abdullah, 45, berkata ketika kejadian, beliau berada di pekan Parit Buntar dan semasa pulang kira-kira pada 7 malam, beliau mendapati kedua-dua anaknya tiada di rumah sebelum mencari mereka di kawasan sekitar.

“Saya mendapat maklumat daripada penduduk mengenai penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan di kawasan parit dan saya terkejut apabila mendapati itu adalah Nor Anisa Najwa dan kemudian Nor Ayuni Najatul pula ditemui, ” katanya.

Mohd Zaki berkata jenazah mangsa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Bagan Tiang pagi ini.

-BERNAMA


Pengarang :