Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Dua ditahan selepas lima jam menyamun

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Polis menyelesaikan kes samun dalam tempoh kurang lima jam selepas menahan dua lelaki dipercayai aktif dalam kejadian samun dan kes pecah rumah di sekitar Serdang, Klang dan Johor.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Ismadi Borhan berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an ditahan kira-kira 5.30 pagi semalam dan merampas pelbagai barangan dipercayai hasil samun seperti jam tangan, telefon bimbit, cincin emas, sebuah kereta jenis Proton disyaki milik suspek dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai milik mangsa.

“Kedua-dua suspek mempunyai 20 rekod lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, judi dan dadah serta mengaku terbabit dalam kes samun di Serdang dan aktif pecah rumah di Klang dan Johor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun pagi semalam kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Bandar Kinrara dan Kuala Lumpur,

Ismadi berkata, ketiga-tiga suspek yang mempunyai 42 rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan itu, ditahan dalam serbuan kira-kira 11.45 pagi.

Selain itu, dua lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 50 tahun turut ditahan di sebuah stesen minyak di Serdang kerana disyaki terbabit dalam kes samun.

“Dua daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan samun,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka direman sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-BERNAMA


Pengarang :