Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Dua lagi ditahan kes video seks

KUALA KUBU BHARU, 20 JULAI: Polis menahan dua lagi individu berhubung siasatan kes video seks yang memaparkan pelaku mirip seorang menteri, menjadikan jumlah ditahan berhubung kes itu 11 orang.

Tanpa mendedahkan butiran tangkapan itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, kedua-dua mereka ditahan di Shah Alam, semalam.

Katanya, siasatan berhubung kes itu sedang giat dilakukan mengikut dua sudut iaitu kesahihan dan pelaku serta siapa yang membuat dan menyebarkan video berkenaan.

“Kita siasat siapa yang bertanggungjawab dan tidak mahu tersilap dalam mengambil tindakan…difahamkan ada suspek yang akan tamat reman dan kita akan sambung reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Abdul Hamid ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali ke-21 di Kem Bina Semangat di sini hari ini,

Baru-baru ini, klip video seks memaparkan aksi dua lelaki tular di media sosial dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz pada 12 Jun lalu mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam rakaman itu.

Pada Khamis, Abdul Hamid berkata analisis CyberSecurity Malaysia mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi.

Beliau ketika itu bagaimanapun berkata, hasil analisis itu tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

Abdul Hamid hari ini menegaskan kenyataaan berhubung keaslian video seks itu bukan berunsurkan politik.

“Saya hanya umumkan hasil analisis (video) dan biarlah kami buat kerja dengan efisien. Itu janji saya kepada kerajaan dan itu harapan yang saya beri kepada orang ramai,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, berkata pihaknya memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung siasatan anggota atau pegawai disyaki terbabit rasuah atau salah guna kuasa.

-BERNAMA


Pengarang :