GLOBAL

Dua maut insiden tembakan rambang di Thailand

YALA, 8 JULAI: Dua anggota sukarelawan maut dan dua lagi cedera termasuk seorang orang awam apabila sekumpulan lelaki melepaskan tembakan ke arah mereka yang sedang bertugas di sebuah pondok kawalan keselamatan di Kg Ton Chod di Yala, selatan Thailand semalam.

Dalam kejdian kira-kira 1.40 tengah hari (waktu tempatan), enam individu yang lengkap dengan senjata api menaiki motosikal melepaskan tembakan secara rambang ke arah pondok keselamatan itu.

Penolong Ketua Polis Siasatan Jenayah Daerah Mueang, Kapten Polis Chaiyuth Laekman berkata, dua anggota sukarelawan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang anggota sukarelawan dan seorang orang awam cedera.

“Suspek turut melarikan dua laras senapang jenis HK33 dan AK120 milik mangsa,” katanya.

Selepas melepaskan tembakan, beliau berkata suspek turut menabur paku di jalan masuk ke lokasi kejadian untuk melambatkan pasukan polis dan hospital ke lokasi.

Mereka yang cedera digegaskan ke Hospital Yala untuk rawatan lanjut, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :