Selangorkini
SELANGOR

Dua mayat warga asing ditemui dalam rumah sewa

SHAH ALAM, 10 JUL : Mayat seorang lelaki dan seorang wanita, kedua-duanya warga asing ditemukan dalam keadaan tergantung dan berlumuran darah di rumah sewa mereka di Banting Kuala Langat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Azizan Tukiman berkata, mayat lelaki yang dipercayai warga India ditemui tergantung di dalam rumah berkenaan manakala mayat wanita dipercayai warga Indonesia ditemui berlumuran darah terbaring di atas tilam di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan yang terletak di Jalan Kampung Tali Air.

“Mayat kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40an ditemui kira-kira pukul 5.20 petang semalam oleh pemilik rumah sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

“Siasatan awal kami (Polis) mendapati, mayat wanita itu mempunyai kesan luka akibat hentakan di bahagian dahi dan pipi dipercayai dipukul dengan batang besi yang ditemui di sebelah mayat berkenaan dan kesan jerut di leher,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Azizan kedua-dua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pemeriksaan lanjut tidak menemui tiada kesan suntikan bacille calmette-guerin (BCG) pada lengan mangsa.

Tambah Azizan lagi pemeriksaan di sekitar rumah turut dapati tiada kesan rumah berkenaan dipecah masuk dan pintu depan rumah itu dikunci dari dalam,

“Lelaki itu menyewa rumah tersebut sejak sebulan lepas dan status hubungan kedua-dua mereka masih dalam siasatan… siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif selain mengesan saksi kejadian,” katanya.

Kata Azizan lagi mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-BERNAMA


Pengarang :