GLOBAL

Ebola: Zambia tingkat pengawasan di pintu masuk sempadan

LUSAKA, 4 JUL: Pihak berkuasa kesihatan Zambia mengetatkan lagi pengawasan di pintu masuk sempadan, berikutan peningkatan kes Ebola di negara jiran Republik Demokratik Kongo (DRC), lapor agensi berita Xinhua.

Menteri Kesihatannya, Chitalu Chilufya berkata, langkah itu bertujuan mengekang penularan wabak penyakit yang boleh membawa maut itu.

Beliau berkata, kerajaan bimbang dengan peningkatan kes Ebola serta penularan wabak campak di beberapa kawasan di DRC, memetik laporan Perbadanan Penyiaran Kebangsaan Zambia, hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan telah melatih petugas pasukan tindak balas yang akan bekerjasama dengan kakitangan kesihatan dari pelbagai negeri untuk menjalankan saringan ke atas setiap individu yang masuk ke Zambia.

Setakat ini, tiada laporan kes Ebola dilaporkan di Zambia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi itu memandangkan DRC telah merekodkan lebih 2,000 kes Ebola.

– BERNAMA

 

 


Pengarang :