Haniza Talha mencuba sendiri melakukan proses memampatkan plastik di dalam botol plastik yang disediakan untuk dijadikan Eco Bricks dan sedia untuk digunakan sebagai bahan asas produk kitar semula.
EXCO SELANGOR

‘EcoBrick’ cetus kreativiti kanak-kanak

AMPANG, 26 JUL: Kerajaan Negeri akan memperluas pelaksanaan projek ‘EcoBrick’ ke seluruh sekolah di Selangor sebagai usaha menyemai kesedaran amalan kitar semula terhadap pelajar dalam melestarikan alam sekitar.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Hanizal Talha berkata, produk generasi hijau itu juga mendorong kreativiti pelajar untuk menghasilkan sesuatu produk daripada bahan buangan yang sukar dilupuskan.

Katanya, inovasi berkenaan dilihat penting, terutama dalam peralihan komuniti kepada keharmonian yang lebih mendalam dengan kitaran kehidupan.

“Projek ini adalah hasil daripada botol plastik minuman yang berperanan menyimpan plastik bungkusan supaya dijadikan bahan kegunaan lain daripada terus dibuang ke tapak pelupusan sampah.

“Botol plastik yang tidak boleh dilupuskan akan dipadatkan atau digabungkan untuk menghasilkan satu produk baharu seperti kerusi, meja atau papan tanda nama sesebuah tempat.

“Ada bahan buangan lain digunakan bagi menghasilkan produk contohnya bunting yang boleh dipakai semula untuk dijadikan apron, seterusnya dapat dijual pada harga berpatutan dengan pelbagai corak serta reka bentuk,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Bengkel Pelestarian Alam peringkat anjuran Persatuan Lestari Alam Malaysia, di Perbadanan Perpustakaan Awam (PPAS) Lembah Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Lestari Alam Malaysia, Rashdan Rashid; Pengarah PPAS, Mastura Muhamad dan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 11 Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Salmah Ismail.

Terdahulu, seramai 20 pelajar sekolah dari sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya menyertai bengkel yang diadakan secara tahunan itu.

Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, bengkel di bawah kelolaan badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan mengetengahkan latihan ‘EcoBrick’ selain penghasilan kompos untuk meningkatkan kesuburan tanah melalui penanaman sisa makanan.

Katanya, walaupun projek terbabit dilihat mudah, namun ia mampu memberi kesan secara menyeluruh untuk jangka masa panjang dalam memastikan alam sekitar lebih selamat dan bersih.

“Inisiatif ini mengajar kanak-kanak sekolah satu perkara yang agak mudah di mana mereka boleh mendapatkan bahan sukar dilupuskan di merata-rata tempat.

“Kita bermula di sekolah kerana apabila mereka (kanak-kanak) mendapat idea baharu, mereka akan membawa idea tersebut kepada ibu bapa dan keluarga,” katanya.


Pengarang :