AGENDANASIONAL

ECRL mampu beri impak positif ekonomi Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 JUL: Pelancaran semula Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka mampu memberi banyak impak positif kepada pembangunan ekonomi Terengganu sekali gus mengubah ‘wajah’ negeri ini pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, Kerajaan Terengganu sangat berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meneruskan projek tersebut walaupun dalam skala yang lebih kecil berbanding perancangan asal.

“Apa yang penting ialah dapat mencapai matlamat pembinaan ECRL ini untuk merancakkan pembangunan ekonomi di Pantai Timur, mewujudkan pertumbuhan banyak bandar-bandar baharu serta prasarana dan fasiliti terbaik dalam industri pengangkutan.

“Wujudnya ECRL nanti akan memberi limpahan manfaat kepada rakyat terutama sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pelancongan, pendidikan dan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Esok, majlis pelancaran semula ECRL akan berlangsung di Bukit Bauk, Dungun dengan perasmiannya dijadual disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Pembinaan projek ECRL itu ditangguhkan sejak Julai tahun lepas apabila kerajaan mahu berunding dengan pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya.

Hasil rundingan, kerajaan dapat menjimatkan RM21.5 bilion apabila Fasa I dan II projek itu kini berharga RM44 bilion berbanding RM65.5 billion ditandatangani oleh kerajaan terdahulu.

Projek itu kini bermula dari Kota Bahru melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Kelawang, Bangi/Kajang, Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang sejauh 648km, dipendekkan 40km dari laluan asal sejauh 688km.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Alex Lee Yun Ping berkata ECRL akan melonjakkan lagi industri pelancongan di Malaysia khususnya di Pantai Timur kerana rangkaian pengangkutan darat yang efisien adalah satu nilai tambah dalam industri tersebut.

“Pada masa yang sama kerajaan dan pemain industri perlu lebih kreatif dalam mewujudkan satu pengisian yang unik di setiap stesen ECRL nanti agar ia mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Terengganu.

“Terengganu perlu memanfaatkan setiap stesen untuk menarik pelancong mengenali lebih dekat keunikan budaya, warisan sejarah dan kecantikan alam semula jadinya. Sebagai contoh, Muzium Penyu atau Fishing Village boleh dibina di Dungun atau satu perkampungan budaya di mana-mana lokasi berhampiran stesen yang sesuai,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :