AGENDAJENAYAH

Empat individu ditahan bantu siasatan kes bunuh

NILAI, 26 JUL : Polis menahan empat individu berusia lingkungan 30 hingga 45 tahun hari ini bagi membantu siasatan kes kematian sepasang suami isteri warga emas dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Taman Desa Melati di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar dalam kenyataan di sini berkata kesemua mereka ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai selepas dipanggil untuk memberi keterangan di IPD berkenaan.

Katanya, susulan itu, kesemua suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita direman tujuh hari bermula hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop dilapor sebagai berkata sepasang suami isteri warga emas ditemukan mati dalam kebakaran pada pukul 10.45 malam di Taman Desa Melati di sini.

Mohamad berkata siasatan awal terhadap kedua-dua mangsa yang telah tinggal selama 10 tahun di situ turut mendapati terdapat kesan tikaman dan kelar pada tubuh mangsa yang dikenali sebagai Tan Kim Joo, 73, dan Ng Chong Hwa, 67 tahun.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -BERNAMA


Pengarang :