AGENDASUKANKINI

ESM sasar dua emas di Filipina

PETALING JAYA, 29 JUL: Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menyasarkan dua pingat emas pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Setiausaha Agungnya, Hisham Darus berkata, sasaran itu diletakkan pada permainan Dota 2 dan Hearthstone yang merupakan antara enam permainan disertai kontinjen sukan elektronik negara selain Tekken 7, Arena Of Valor (AOV), Mobile Legends (ML) dan Starcraft 2.

Filipina dan Singapura merupakan pencabar utama dalam permainan Hearthstone manakala saingan sengit dalam permainan Dota 2 dijangka datang daripada skuad tuan rumah, katanya kepada pemberita pada sesi taklimat bersama atlet menjelang Sukan SEA Filipna 2019, di sini, hari ini.

“Enam permainan dipertandingkan semuanya memberi kelebihan kepada Filipina. Dari segi dasar kita letak sasaran sekurang-kurangnya dua pingat emas tetapi ia bergantung selepas kita melengkapkan senarai akhir 21 atlet yang akan mewakili negara.

“Dalam Hearthstone pengacau utama adalah Filipina dan Singapura tetapi kita mempunyai pemain yang setanding dengan mereka. Dota 2 semua orang tahu Filipina mempunyai pasukan hebat yang bertanding di peringkat dunia sementara atlet Dota 2 kita beraksi untuk pasukan-pasukan berbeza,” katanya.

Pada masa sama, Hisham berkata, ESM turut mengintai peluang ‘mencuri’ selain kilauan emas untuk dibawa pulang dengan sekurang-kurangnya menyasarkan tiga pingat perak dan satu gangsa.

Sementara itu, pengurus skuad sukan elektronik negara ke Sukan SEA, Firdaus Hashim berkata tempoh tiga bulan sebelum temasya berlangsung merupakan cukup untuk melakukan persiapan.

Beliau berkata jurulatih bagi keenam-enam permainan itu akan dilantik dalam minggu ini bertujuan menilai prestasi atlet sebelum memuktamadkan senarai akhir ke Filipina untuk diserahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 15 Ogos ini.

“Untuk e-sukan tempoh tiga bulan adalah satu tempoh yang lama untuk persiapan sebagai contoh atlet Dota 2 mungkin dapat menyertai 10 kejohanan antarabangsa sepanjang tempoh itu,” katanya.

Sebagai rekod, sukan elektronik bakal dipertandingkan serta dikira sebagai pungutan pingat buat julung kali di Sukan SEA Filipina 2019 selepas sukan berasaskan permainan video itu sebelum ini hanya diuji pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang. – BERNAMA


Pengarang :