NASIONALSUKANKINI

FAM fokus perkemas, bangunkan AMD

PETALING JAYA, 1 JUL: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan berada dalam radar utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usaha badan induk itu menjadikan akademi bola sepak berkenaan sebagai platform melahirkan pemain berkualiti.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata fokus beliau adalah memastikan akademi di Gambang, Pahang itu mencapai tahap terbaik dari segenap aspek terutamanya infrastruktur asas melibatkan program latihan.

Walaupun perancangan bakal dilakukan mungkin tidak dapat menyaingi kehebatan Akademi Aspire di Qatar yang antara akademi sukan serba canggih dan cukup terkenal di dunia, ia cukup untuk meletakkan AMD di satu tahap lebih baik berbanding sekarang.

“Saya prihatin dengan AMD dan selepas ini fokus saya ingin memperkemas dan pastikan fasiliti di sana berada dalam keadaan ‘tip-top’.

“Sekiranya tidak dapat menandingi Akademi Aspire, sekurang-kurangnya ia akan lebih baik dari sekarang. Itu hasrat yang saya luahkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman),” katanya ketika ditemui pemberita pada Jamuan Hari Raya FAM di Wisma FAM di sini, hari ini.

Hamidin berkata, usaha memperkasa AMD itu amat mustahak bagi memastikan lebih 200 pelatih dan 22 jurulatih yang berpangkalan di akademi itu ‘keluar’ dengan mutu yang mampu mempengaruhi peningkatan prestasi skuad kebangsaan.

“Usaha ini amat mustahak kerana mereka (pelatih) bakal pemain yang akan mewakili negara dalam tempoh lima hingga enam tahun dari sekarang,” katanya.

Syed Saddiq sebelum ini optimis konsep sama mungkin akan diguna pakai oleh AMD berdasarkan kemampuan Qatar merangkul kejuaraan Piala Asia 2019 menerusi idea penubuhan Akademi Aspire yang berperanan mengesan dan membangunkan pemain berbakat seluruh dunia.

Akademi Aspire diiktiraf sebagai antara akademi terbaik dalam mengesan bakat pemain selain pelatih yang ingin menyertai perlu melalui proses penilaian yang ketat.

Sebagai rekod, AMD dirasmikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 melibatkan peruntukan RM85 juta dengan objektif membawa dimensi baharu dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa. – BERNAMA


Pengarang :