AGENSISELANGOR

FAMA Selangor sasar pengeluaran 475.2 tan durian tahun ini

SHAH ALAM, 28 JUL: Sebanyak 475.2 tan metrik durian dijangka dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor sepanjang musim raja buah itu tahun ini.

Timbalan Pengarah FAMA Selangor, Mohemed Zharaubi Khafi berkata, durian mula gugur sejak Mei lalu membabitkan keluasan ladang hampir 290 hektar di daerah Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Gombak.

“Selain durian, cempedak dijangka mengeluarkan hasil sebanyak 267.5 tan metrik bermula bulan ini dan rambutan pula sebanyak 276.4 tan metrik bermula Ogos ini,” katanya ketika merasmikan program Jualan Terus dari Ladang (JTDL) di SACC Mall, di sini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi.

Pada masa sama, Mohemed Zharaubi Khafi berkata, pihaknya turut menyasarkan nilai jualan sebanyak RM300,000 menerusi JTDL.

Katanya, sebanyak 30 tan metrik buah-buahan tempatan termasuk durian, rambutan, cempedak, manggis dan sebagainya dijual di SACC Mall hingga hari ini.

“Sebanyak 63 kali JTDL dianjur di outlet dan program seluruh Selangor sehingga Jun lalu membabitkan 125 peserta ladang kontrak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dengan nilai jualan sebanyak RM569,465.

“Menerusi program dianjur, pengguna menikmati harga istimewa antara lima hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran semasa,” katanya.


Pengarang :