AGENDASUKANKINI

FAS: Terima kasih Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 24 JUL: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi kebenaran untuk menguruskan padang Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini, selama tiga tahun.

Atas dasar komitmen itu, ia sekali gus menjadikan transformasi fasiliti baharu persatuan bola sepak berkenaan sebuah realiti.

Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, selepas mengambil alih pucuk pimpinan persatuan, pihak pengurusan baharu menggariskan lima teras untuk memperkasa FAS.

“Pembinaan fasiliti adalah perkara pertama diputuskan dan alhamdulillah, impian kita untuk mempunyai fasiliti lebih baik serta pusat pentadbiran persatuan lebih mampan berjaya direalisasikan.

“FAS mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari kerana sentiasa memberi komitmen untuk memajukan bola sepak Selangor.

“Tanpa kerjasama beliau, fasiliti serba moden ini pasti tidak akan berjaya dibina,” katanya sempena Majlis Pelancaran Pusat Latihan dan Pejabat Baharu FAS di Padang Latihan SUK, Seksyen 5 di sini, hari ini.

Pelancarannya disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Fasiliti baharu itu dibina hasil kerjasama FAS bersama Vizione Holdings Berhad (Vizione), iaitu sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan awam, pembinaan infrastruktur dan pembangunan hartanah yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Johan berkata, Vizione salah satu rakan strategik persatuan bola sepak berkenaan yang menjadi penggerak utama dalam pembinaan fasiliti bernilai RM1.5 juta itu.

“FAS mengucapkan terima kasih kepada Vizione di atas kepercayaan diberikan. Komitmen ini bakal membuatkan pasukan lebih bersemangat untuk memburu kemenangan di atas padang.

“Kami berharap melalui kerjasama ini, maka lebih banyak syarikat akan tampil sebagai rakan penaja kepada FAS,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :