BERITA UTAMASELANGOR

Fast Track atasi karenah birokrasi, elak wanita digantung tidak bertali

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 JUL: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) mempertahankan proses kes cerai secara ‘fast track’ bukan saluran menggalakkan masyarakat Islam di Selangor bercerai.

Sebaliknya, JAKESS dalam kenyataannya berkata, proses cerai yang diperkenalkan sejak 2015 itu bagi menyelesaikan rungutan dan aduan pelanggan yang mendakwa Mahkamah Syariah Selangor mengambil masa terlalu lama menyelesaikan sesuatu kes cerai.

JAKESS juga memaklumkan, proses perceraian daripada 90 hari kepada enam jam itu antara lain berfungsi menangani masalah wanita yang mendakwa diri mereka ‘digantung tidak bertali’.

“Proses kerja ini adalah prosedur operasi standard (SOP) dibangunkan JAKESS bagi mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengendalian kes cerai yang difailkan atas persetujuan bersama suami dan isteri yang sebelum ini mengambil masa sehingga 90 hari untuk diselesaikan.

“Proses kerja ini juga sebenarnya menjimatkan masa dan kos pihak terbabit dan memberi peluang kepada mereka memulakan hidup baharu secara damai tanpa perlu bermusuhan antara satu sama lain, sebagaimana yang biasa berlaku kesan daripada perbicaraan kes yang panjang di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

Untuk rekod, proses penceraian melalui ‘fast track’ hanya untuk penyelesaian kes cerai dengan talak yang difailkan secara persetujuan bersama di bawah Seksyen 47 Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor (2003).

Pelaksanaan kes cerai itu memerlukan dokumen lengkap, pasangan suami isteri hadir, persetujuan bersama untuk bercerai, isteri dalam keadaan suci dan tidak dicampuri, tidak mengandung, putus haid atau tidak pernah disetubuhi dalam tempoh perkahwinan serta mahkamah berpuas hati dengan alasan pecah belah (syiqaq).

“ Kaedah ‘fast track’ bukan proses yang diwujudkan semata-mata menyelesaikan kes cerai dengan sewenang-wenangnya tanpa perlu melalui langkah yang sewajarnya.

“Tetapi pasangan suami isteri datang ke Mahkamah untuk memfailkan kes cerai, mereka akan berjumpa dengan Pegawai Runding Cara Keluarga di Unit Undang-Undang Keluarga, Pejabat Agama Islam Daerah bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik rumah tangga yang dihadapi oleh mereka,” menurut kenyataan itu.

 

Menyentuh rekod kes cerai tertinggi di Selangor, JAKESS memaklumkan bahawa angka itu disebabkan oleh jumlah penduduk yang ramai di negeri ini berbanding negeri lain.

 

Semalam, persidangan Dewan Rakyat gamat dengan isu punca penceraian selain dakwaan wujudnya kaunter khas di Selangor seolah menggalakkan kes penceraian berlaku.


Pengarang :