OLEH KURNIAWATI KAMARUDIN
ROMPIN, 6 JUL: Model perniagaan baharu FELDA bakal menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3, Muadzaam Shah esok.
Bertemakan ‘Peneroka Mandiri Felda Lestari’, program itu adalah antara usaha FELDA untuk memberi kefahaman kepada para peneroka tentang hala tuju dan peluang yang boleh dilaksanakan melalui model baharu itu bagi meningkatkan pendapatan mereka secara konsisten.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan sambutan itu, yang buat pertama kalinya dianjurkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.
Model perniagaan baharu itu diperkenalkan dalam Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 10 April lalu.
Bagi mencapai kelestarian FELDA, kerajaan menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mahu membawa perubahan dengan melaksanakan 10 perancangan perniagaan Model Baharu FELDA termasuk program sewaan tanah jangka panjang, program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu, pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi FELDA serta penggunaan teknologi terkini dalam perladangan pintar.
RANCAKKAN EKONOMI PENEROKA
Hari Peneroka Kebangsaan 2019 akan diadakan di FELDA Selancar, yang terletak bersempadan daerah Segamat, Johor, dan bakal dimeriahkan dengan kehadiran 10,000 peneroka.
Sambutan itu, yang diadakan sejak 2010, sememangnya dinanti-nantikan oleh 112,635 peneroka tanah rancangan serta masyarakat luar FELDA di seluruh negara bagi melihat perkembangan pembangunan dan inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan.
Tahun lepas, sambutan itu tidak diadakan namun sambutan kali ini bakal menampilkan program-program pembangunan menyeluruh untuk dikongsikan dengan para peneroka serta orang ramai.
Sempena sambutan kali ini, FELDA juga akan memberi penghargaan kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang akan menerima anugerah Ikon Anak FELDA.
Chef Wan, dari generasi kedua FELDA di tanah rancangan Sungai Koyan, Pahang, bakal mengadakan demonstrasi masakan daging arnab, yang merupakan satu daripada projek pembangunan peneroka FELDA.
Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar berkata, kejayaan peneroka yang terlibat di dalam program pembangunan itu diharap dapat menyuntik semangat lebih ramai lagi peneroka untuk mengambil peluang daripada model perniagaan baharu yang diperkenalkan FELDA.
“Matlamat utama model perniagaan baharu ini adalah untuk membantu peneroka meraih pendapatan tambahan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kelapa sawit. Memandangkan harga kelapa sawit kini tidak menentu, para peneroka perlulah mencari inisiatif baharu untuk menjana pendapatan,” katanya semasa melawat tapak sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan di FELDA Selancar 3, baru-baru ini.
BERI ‘PANCING’ BUKAN ‘IKAN’
Beliau berkata, transformasi itu tidak akan berjaya sekiranya peneroka masih dengan sikap lama yang mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti bonus atau ‘duit raya’ sempena Aidilfitri.
“Pemberian duit raya bermakna FELDA memberi mereka ‘ikan’ bukannya ‘pancing’,” kata Othman, yang menerajui agensi itu bermula 1 Oktober tahun lepas.
‘Pancing’ sepatutnya menjadi kaedah bagi peneroka untuk berusaha meningkatkan ekonomi yang mampu memberi pulangan pendapatan jangka panjang, katanya.
Justeru katanya, model perniagaan baharu itu akan memberi tumpuan kepada membantu khususnya kira-kira 17,000 peneroka Felda berpendapatan rendah dan masih dibebani hutang yang tinggi.