SHAH ALAM, 3 Julai — Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching (tujuh, kiri) bergambar bersama pengusaha kantin sekolah yang menerima produk NuMee Gardenia (NuMee) pada majlis Pelancaran Pemakanan Sihat Bersama NuMee 2019 di SK Bukit Jelutong, hari ini. Produk mee kuning NuMee Gardenia (NuMee) telah menyumbangkan 122,400 jenis hidangan sihat kepada murid-murid sekolah di seluruh negara. Turut hadir Pengerusi Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, Datuk Mohammad Zainal Shaari (enam, kiri). — fotoBERNAMA (2019) HAKCIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Galak kerjasama swasta-kerajaan sedia makanan sihat untuk pelajar

SHAH ALAM, 3 JULAI: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggalakkan sektor swasta supaya bekerjasama erat dengan kerajaan untuk menyediakan makanan berkhasiat kepada murid sekolah terutama daripada golongan berpendapatan rendah (B40).

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, kerjasama itu perlu digembleng kerana kira-kira 60 peratus kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia kini berdepan masalah pertumbuhan terbantut, kekurangan berat badan dan obesiti.

Beliau berkata, peratusan itu diketengahkan dalam Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lepas dan puncanya adalah disebabkan masalah malnutrisi serta amalan pengambilan makanan tidak berkhasiat.

“Laporan itu menunjukkan 22 peratus kanak-kanak bawah umur lima tahun di negara ini mengalami masalah pertumbuhan terbantut, 15 peratus kekurangan berat badan dan 23 peratus lagi obes. Kekurangan zat makanan adalah satu bentuk penafian hak terutamanya kepada murid-murid yang sedang membesar.

“Justeru, kerajaan amat menggalakkan syarikat swasta menganjurkan pelbagai program penyediaan makanan sihat kepada golongan ini kerana kita mahu anak-anak kita membesar dengan sihat demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program pemakanan sihat bersama NuMee 2019 di Sekolah Kebangsaan Bukit Jelutong, di sini hari ini.

Mengulas berkenaan program itu, Teo berkata, usaha syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia) menyumbang 20,400 pek mi kuning jenama NuMee Gardenia iaitu produk terbaharu mereka kepada sekolah-sekolah terpilih di seluruh Malaysia bagi penyediaan makanan sihat amat dipuji dan harus menjadi ikutan kepada lebih banyak syarikat swasta lain.

Katanya, sumbangan makanan sihat seumpamanya kepada murid sekolah oleh sektor swasta juga dilihat menyokong hasrat kerajaan yang bakal melaksanakan program sarapan berkhasiat dan percuma kepada kanak-kanak menggunakan hasil cukai gula tahun depan.

Program pemakanan sihat bersama NuMee 2019 itu melibatkan 100 buah kantin sekolah di seluruh negara yang mana 20,400 pek NuMee Gardenia akan diagihkan berperingkat secara percuma dan ia boleh menyajikan sebanyak 122,400 hidangan sihat kepada golongan murid di sekolah terlibat.

Selain itu, menerusi program berkenaan juga, pihak Gardenia membekalkan resepi dan kaedah penyediaan makanan seimbang untuk kanak-kanak kepada pengusaha-pengusaha kantin sekolah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Gardenia Datuk Mohammad Zainal Shaari berkata pihaknya mengambil masa dua tahun untuk melakukan kajian dalam pembuatan dan penyediaan NuMee Gerdenia demi menghasilkan produk yang menepati cita rasa rakyat dan penuh khasiat.

“Kerjasama dengan KPM dilihat sebagai platform ideal kepada Gardenia menerapkan mesej pentingnya tabiat pemakanan sihat dalam kalangan warga sekolah untuk kekal aktif. Program ini dilaksanakan untuk membantu mengurangkan masalah malnutrisi murid,” katanya.

Mengulas mengenai produk terbaharu Gardenia itu, Mohammad Zainal berkata sejak dilancarkan pada pertengahan Mei lepas, NuMee Gardenia yang memperoleh pensijilan Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah terjual sekitar 2 juta pek di seluruh semenanjung.

-BERNAMA


Pengarang :