SELANGOR

Galeri Shah Alam pamer karya selebriti

SHAH ALAM, 31 JUL: Buat julung-julung kalinya lukisan karya selebriti terkenal seperti pelawak, pelakon, penyanyi dan komposer dihimpunkan dalam satu pameran.

Pameran Artis@Pelukis itu diadakan pada 15 Julai hingga 23 Ogos di Galeri Shah Alam.

Pameran itu membabitkan karya lukisan dan arca 16 selebriti terkenal seperti Imuda, Ebby Yus, Joey Daud, Zul Handy Black, Dinie Juri, Imuda, Sabri Yunus, Umarul Iklim, Usop Kopratasa, Sani Sudin dan S. Amin Shahab.

Pameran itu turut menampilkan karya seni Yaya Maembong, Fathullah Luqman, Adnan Othman Pop Yeh Yeh, Datuk Khai, Rose Ismail dan Wan Raja.

Kolektor, penerbit dan juga pengarah tersohor, U-Wei Saari berkata, pameran ini mampu memberi peluang kepada penggiat seni tanah air menampilkan karya seni masing-masing kepada masyarakat.

“Selalunya masyarakat hanya mengenali mereka sebagai penyanyi, pelakon, pelawak mahu pun penyair dan tidak menduga bahawa ramai artis kita mempunyai bakat seni lain.

“Maka dengan pameran ini kita dipertontonkan dengan sisi lain bakat yang dimiliki mereka,” katanya ketika merasmikan pelancaran pameran itu di galeri itu di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Kurator Galeri Shah Alam, Ibrahim Bujal berkata, Galeri Shah Alam akan terus memberi peluang kepada penggiat hiburan tempatan mempamerkan karya masing-masing di galeri itu.

“Ramai tak tahu, ramai artis kita ada bakat lain selain menghibur seperti Datuk M. Nasir, Anzalna Nasir, Normala Shamsuddin dan lain-lain.

“Kita akan cuba kumpul artis lain pula untuk adakan pameran lain,” katanya kepada SelangorKini.


Pengarang :