BERITA UTAMA

Gangguan bekalan air pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 25 JULAI: Gangguan bekalan air di kesemua kawasan terjejas di Selangor dan Kuala Lumpur ekoran pencemaran diesel di Sungai Selangor pulih sepenuhnya.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan semua pengguna sepanjang pelaksanaan pemulihan bekalan ekoran insiden yang menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas.

Beliau berkata, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Selangor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, operator air dari negeri lain dan semua yang terbabit menghulurkan bantuan sepanjang tempoh gangguan serta pemulihan bekalan air di lokasi terjejas.

“Kami memohon maaf atas segala kesulitan dan meminta semua pihak supaya bersama-sama menjaga sumber air dan menggunakan air dengan berhemah serta mengelakkan pembaziran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, pencemaran diesel di Sungai Selangor mengakibatkan LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas.

Insiden itu menjejaskan 1,191,942 akaun pelanggan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

-BERNAMA


Pengarang :