NASIONAL

Gangguan kesihatan: Tidak perlu kepakaran luar

JOHOR BAHRU, 1 JUL: Kerajaan tidak memerlukan kepakaran luar buat masa ini bagi membantu mengenal pasti punca gangguan kesihatan yang membelenggu pelajar sekolah di Pasir Gudang sejak Khamis lepas.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata sejak hari pertama kejadian, lebih 100 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi berkaitan bertungkus lumus mencari punca kejadian.

“Tidak buat masa ini,” katanya kepada pemberita di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang, di sini hari ini.

Yeo berkata demikian bagi mengulas laporan berita mengenai cadangan supaya kerajaan mendapatkan bantuan asing yang dilaporkan mempunyai kepakaran atau teknologi yang lebih moden bagi membantu mengesan punca gangguan kesihatan di kawasan itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Datuk Yahaya Madis, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Dr Selahuddeen Abdul Aziz dan Pegawai Daerah Johor Bahru Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.

Yeo berkata pihaknya akan bertemu dengan wakil industri di kawasan Pasir Gudang petang ini bagi membincangkan perancangan masa depan kawasan itu supaya lebih mampan dan boleh diduduki.

Perbincangan itu, katanya dilihat penting memandangkan kawasan Pasir Gudang merupakan kawasan industri.

“Saya akan berjumpa dengan mereka petang ini. Pihak swasta kena bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan perkembangan kawasan Pasir Gudang mampan. Kita akan membincangkan langkah-langkah yang boleh diambil,” katanya.

Menurut Yeo, pihaknya belum mengenal pasti punca kejadian gangguan kesihatan memandangkan ia berbeza dengan kejadian pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Mac lepas.

Beliau berkata mengambil contoh kejadian semalam, hanya 10 daripada 273 orang yang terjejas dirujuk ke Hospital Sultan Ismail dan apabila diteliti, lokasi pelajar jauh antara satu sama lain.

“Itu sebabnya punca tidak dapat dikenal pasti… tiada hubung kait geogafi di sini. Ini sama kes seperti 20 Jun (hari pertama kejadian). Ini tidak sama dengan pencemaran Sungai Kim Kim,” katanya.

Beliau berkata pihaknya kini giat mengumpul data terutama bacaan di 85 buah sekolah hari ini selain tujuh sampel darah dan air kencing yang diambil daripada mangsa yang terlibat semalam. – BERNAMA


Pengarang :