AGENDANASIONAL

Gerak operasi pantau penjualan ‘ghost smoke’-MBM

SHAH ALAM, 23 JULAI: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengesyorkan pihak berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menggerakkan operasi pemantauan dalam memastikan penjualan gula-gula ‘ghost smoke’ dihentikan serta-merta.

Presidennya, Jufitri Joha berkata, pihaknya bimbang melihat gejala ‘ghost smoke’ berpotensi menjadi wabak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Katanya, kebimbangan itu berasas kerana MBM amat khuatir ia mampu mendorong kanak-kanak terus terjerumus dalam gejala sosial yang lebih besar.

“Bermula dengan gula-gula, berubah angin kepada rokok dan tidak mustahil kepada gam dan dadah. Tambah membimbangkan, pemerhatian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan produk gula-gula ‘ghost smoke’ mudah didapati dan murah harganya.

“Pelajar sekolah boleh mendapatkannya di gerai jualan makanan ringan atau jajan di persekitaran luar sekolah atau membelinya di portal jualan dalam talian,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan sama, katanya, kadar perokok dalam kalangan pelajar sekolah mencatatkan jumlah yang tinggi, iaitu 68,321 pelajar pada tahun lalu.

“MBM tidak mahu melihat jumlah ini terus meningkat pada tahun mendatang ekoran terdedahnya mereka kepada wabak ‘ghost smoke’ ini,” katanya.

Baru-baru ini, media tempatan melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula berkenaan yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu penjualan gula-gula berkenaan dihentikan segera selain meminta ibu bapa meningkatkan pemantauan ke atas anak masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga tidak menolak kemungkinan gula-gula berkenaan boleh menjadi permulaan kepada masalah penagihan dadah.


Pengarang :