NASIONAL

‘Harimau Asia’ bakal kembali dalam dua penggal-PM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL & SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 10 JULAI: Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 tahun untuk memegang semula gelaran ‘Harimau Asia’ dalam ekonomi rantau ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana menteri berkata, beliau tidak berpuas hati dengan prestasi kepimpinan terdahulu yang dilihat gagal memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi sehingga menuntut dirinya kembali aktif dalam arena politik.

Katanya, pemimpin sebelum ini melakukan keputusan tidak sewajarnya dan mengalih tumpuan kepada perkara peribadi.

“Asas pemulihan sudah diletakkan dalam tiga tahun ini tetapi belum sampai ke tahapnya kerana ia sukar dipulihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama Radio pada Wawancara Eksklusif Janji Temu bersama Tun Mahathir sempena Ulang Tahun ke-94 pemimpin itu, di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, selepas kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara, pelbagai masalah khususnya membabitkan kemelut kewangan berjaya diatasi.

“Semasa dahulu saya di luar kerajaan, saya tidak dapat nilai masalah ini dan apa yang kita nampak itulah yang diberitahu sahaja.

“Apabila kita mendapat kuasa, kita dapat mengetahuinya daripada dalam bahawa masalah ini lebih besar dan mengambil sedikit masa bagi proses baik pulih untuk meletakkan negara dalam keadaan selamat daripada kecemasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan PAKATAN juga akan terus berusaha mengubah orang Melayu supaya lebih serasi dengan kemajuan memandangkan sebahagian besar memilih untuk kekal sengan cara mereka sendiri.

Akuinya, kegagalan terbesar beliau adalah gagal mengubah tabiat orang Melayu dan sistem nilai.


Pengarang :