AGENDANASIONAL

Haziq bebas dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR, 23 JUL: Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis setelah ditahan reman selama sembilan hari bagi membantu siasatan kes video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, turut dibebaskan ialah dua lagi individu iaitu Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan rakannya yang ditahan di Johor pada 16 Julai lepas.

“Kesemua mereka dibebaskan selepas tempoh reman mereka tamat hari ini manakala reman seorang ahli perniagaan yang ditahan di Shah Alam akan tamat esok,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, peguam kepada Haziq, Ramesh Sivakumar berkata, pihaknya sentiasa sedia bekerjasama dengan polis sekiranya dipanggil semula untuk memberi keterangan.

“Polis sangat profesional dan kami tunggu keputusan daripada timbalan pendakwa raya sama ada akan dituduh atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Haziq dibebaskan pada 3.58 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Baru-baru ini, klip video seks memaparkan aksi dua lelaki tular di media sosial dan Haziq Abdullah pada 12 Jun mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam rakaman itu.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, hasil analisis CyberSecurity Malaysia (CyberSecurity) terhadap video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri mendapati kebarangkalian video itu tulen adalah tinggi. – BERNAMA


Pengarang :