NASIONAL

Hoki Dalam Dewan: Malaysia kenduri gol benam Filipina 20-1

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Malaysia meneruskan aksi cemerlang menewaskan Filipina 20-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan A dalam Kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2019 di Chonburi, Thailand, hari ini.

Skuad lelaki negara yang dibimbing Megat Azrafiq Megat Termizi menguasai permainan apabila mendahului 9-0 pada separuh masa pertama.

Empat gol dijaringkan masing-masing oleh Faridzul Afiq Mohd dan Shafiq Yaacob, manakala Muhammad Firdaus Omar dan Muhamad Azhar menjaringkan hatrik, diikuti dua gol masing-masing melalui Aminudin Zain, Shello Silverius dan Rafizul Mustafa.

Marvin Lianza menyumbangkan gol tunggal Filipina pada minit ke-31 melalui jaringan padang.

Berikutan aksi cemerlang itu serta kemenangan 6-0 ke atas Bangladesh pada Isnin, Malaysia akan menghadapi juara bertahan, Iran pada Khamis dan menamatkan perlawanan kumpulan menentang tuan rumah, Thailand pada Jumaat.

Sementara itu, skuad wanita pula akan berdepan dengan tuan rumah Thailand esok, diikuti Taiwan pada Khamis.

Hanya dua pasukan di tangga teratas peringkat kumpulan, akan mara ke separuh akhir kejohanan dwitahunan itu, yang menawarkan tempat ke Piala Dunia 2021.

– BERNAMA


Pengarang :