SUKANKINI

Hoki: Jumlah pemain sertai NHDP meningkat

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) kini mencatatkan penyertaan 2,583 pemain hoki, berbanding 1,794 yang direkodkan pada September lalu.

Ekoran penambahan jumlah pemain, NHDP menambah seramai 76 jurulatih, di samping membuka 50 lagi pusat latihan di seluruh negara.

Menurut kenyataan Timbalan Presiden Persekutuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Dr S.Shamala, jumlah pemain berumur bawah 16 tahun (U-16) menokok daripada 234 tahun lalu kepada 281 tahun ini, manakala pemain berumur bawah 14 tahun (U-14) juga naik daripada 234 tahun lalu kepada 399 tahun ini.

Beliau berkata, oleh kerana aspek pembangunan sentiasa menjadi keutamaan MHC, Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal telah membuat kenyataan yang jelas pada mesyuarat lembaga eksekutif tahun lepas, bahawa usaha membina kemahiran pemain di peringkat akar umbi amat kritikal terhadap pembangunan sukan itu.

“Majlis Sukan Negara dan MHC sedang merangka program semasa kita, supaya menjadi lebih baik lagi, dan banyak perbincangan sudah diadakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

NHDP, yang sebelum ini dikenali sebagai program 1MAS, dibentuk bagi melahirkan lebih ramai pemain untuk Pasukan MHC.

-BERNAMA


Pengarang :