BERITA UTAMASELANGOR

Hulu Selangor syurga aktiviti lasak, ekopelancongan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 8 JULAI: Hulu Selangor yang terkenal dalam kalangan penggemar aktiviti lasak dan bercirikan ekopelancongan berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke daerah itu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Shukri Mohamad Hamin berkata, antara produk eko pelancongan di daerah itu adalah Air Terjun Serendah, Hutan Lipur Pelajaran Sungai Kedondong, Kolam Air Panas Hulu Tamu dan Kolam Air Panas Kerling.

Manakala katanya, bagi penggemar aktiviti lasak, Hulu Selangor menawarkan aktiviti berakit di jeram di Sungai Selangor, kereta pacuan empat roda di Sungai Sendat, Kerling dan Peretak, ‘paragliding di Kuala Kubu Bharu, mendaki bukit atau gunung sekitar Kuala Kubu Bharu serta Bukit Fraser.

“Nama Bukit Kutu dan Air Terjun Sungai Chiling adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada umum kerana dua lokasi ini adalah lokasi popular bagi pelancong dalam dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pemurnian Pelancongan Negeri Selangor (P3S) di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Pada masa sama, Shukri berkata, MDHS akan terus membangunkan selain memastikan produk sedia ada sentiasa diselenggara dengan baik bagi memastikan Hulu Selangor kekal menjadi destinasi riadah terkenal di Selangor.

 

 


Pengarang :