Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDANASIONAL

Ibu, abang direman empat hari dakwaan dera OKU

KANGAR, 21 JULAI: Seorang wanita dan anak lelakinya direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes dera membabitkan remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) berusia 14 tahun di Mata Ayer di sini.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Wanita berusia 40 tahun dan anak lelakinya berusia 15 tahun yang juga abang kandung kepada remaja perempuan yang kurang keupayaan pembelajaran itu ditahan di kediaman mereka di Kampung Gial Tengah, Mata Ayer di sini, semalam.

Pada Jumaat, satu klip video tular di Twitter menggunakan akaun bernama Jurais Abdullah yang menunjukkan seorang remaja perempuan dibiar tinggal di luar rumah. Remaja itu turut dikatakan tidak diberi makan oleh keluarganya selain dipercayai dipukul.

Ketua Polis Perlis, SAC Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, remaja perempuan itu kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan polis sedang menunggu laporan pemeriksaan ke atas remaja itu.

“Polis juga mendapatkan keterangan daripada individu yang dikenali sebagai Jurais bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

-BERNAMA


Pengarang :