Satu majlis ‘perkahwinan’ katak, atau “manduka kalyanotsava”, berlangsung di Bangalore, India pada 8 Jun 2019 bertujuan memanggil hujan. – Foto oleh STR / AFP
AGENDAGLOBAL

India: ‘Perkahwinan’ keldai dan katak untuk mohon hujan

NEW DELHI, 25 JUL: Penduduk di rantau selatan India menganjurkan “perkahwinan” dua ekor keldai untuk dipersembahkan kepada “dewa hujan”, dipercayai bagi memperoleh rahmat.

Acara diadakan di sebuah kuil di Bowenpally, Telangana turut diiringi muzik dan tarian – penuh warna warni umpama sebuah majlis perkahwinan masyarakat India, lapor media tempatan.

Mereka percaya dengan mengadakan “perkahwinan keldai” ia akan membawa kebaikan iaitu hujan yang banyak seperti yang berlaku empat tahun lalu.

Adakalanya, upacara perkahwinan haiwan yang berlaku di beberapa kawasan di India disebabkan tahyul.

Misalnya, ada yang percaya “perkahwinan katak” adalah satu cara untuk menghargai tuhan hujan Hindu.

Bulan lalu, penduduk di daerah Udupi, Karnataka mengatur perkahwinan dua katak – seekor ditetapkan sebagai “jantan” dan seekor lagi “betina” – dengan dipakaikan pakaian khas.

– BERNAMA


Pengarang :