Selangorkini
NASIONAL

Insiden sesak nafas: JAS Johor periksa 182 premis industri setakat ini

JOHOR BAHRU, 5 JUL : Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri telah melakukan pemeriksaan terhadap 182 premis industri di Pasir Gudang setakat ini, susulan insiden sesak nafas dan muntah-muntah di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, JAS juga telah mengenakan tindakan terhadap premis industri berkenaan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Antara tindakan yang diambil, sebanyak 10 kompaun dikeluarkan (setakat ini) bagi kesalahan efluen perindustrian, 46 notis arahan, lapan perintah tahan operasi, selain syor tindakan mahkamah terhadap dua buah kilang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, setakat semalam, sebanyak 31 pelajar daripada 11 buah sekolah mengalami masalah kesihatan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pasir Gudang, SK Senibong, SK Kopok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Jaya, SK Taman Pasir Putih, SK Kota Masai 3, SK Pasir Gudang 4, SMK Dato Penggawa Timur, SMK Pasir Gudang 3 dan SMK Seri Kota Puteri.

“ Bagaimanapun, hanya 21 daripada 31 pelajar terbabit hantar ke klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan saringan dan hanya seorang yang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 18 pasukan “Psychological First Aid” yang dibentuk oleh Kementerian Kesihatan Malaysia juga masih meneruskan perkhidmatan sokongan psikologi di sekolah yang terjejas.

-BERNAMA


Pengarang :