BERITA UTAMASELANGOR

Institusi perbankan disaran tumpu aspek pembangunan masyarakat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 12 JUL: Sektor perbankan dan kewangan di Malaysia disaran menekankan aspek pembangunan masyarakat (Ijtima’iyah) selari dengan pematuhan prinsip muamalah dalam institusi berkenaan.

Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata, institusi perbankan juga harus memastikan setiap perkhidmatan disalurkan memberi manfaat kepada masyarakat dengan tidak mementingkan keuntungan semata-mata.

“Dunia perbankan Islam kini hanya memfokuskan kepada dua perkara iaitu kerajaan dan perniagaan (keuntungan), tetapi kurang beri tumpuan soal kemasyarakatan.

“Pihak perbankan kena mencari jalan memberi perkhidmatan dan menjalankan tugas dalam pembangunan masyarakat kerana konsep muamalah bukan sekadar mendapat untung semata-mata,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Antarabangsa Pengurusan Muamalah Siri Keenam anjuran Fakulti Pengurusan dan Muamalah KUIS, di Hotel Resort Bangi, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Ab Halim berkata, mana-mana institusi perbankan perlu mempergiat pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dalam skala lebih besar demi membangunkan komuniti.

“Program CSR bukan sahaja boleh menjadi instrumen dalam perniagaan oleh pihak perbankan itu sendiri, tetapi juga instrumen kepada soal komuniti.

“Misalnya, Bank Islam menubuhkan sebuah pusat pengumpulan sedekah, wakaf dan hibah dikenali sebagai Baitul Sadaqah yang juga instrumen baharu dibuat untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Baitul Sadaqah adalah hasil produk sebuah badan pemikir KUIS. Ia berfungsi menjalankan kajian dan mengumpulkan dana untuk diagihkan kepada golongan miskin serta memerlukan,” katanya.

 


Pengarang :