SELANGOR

Isu papan tanda Mandarin dibawa ke Mesyuarat EXCO hari ini

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUL: Isu papan tanda jalan dalam bahasa Mandarin yang dipasang di Tanjung Sepat, Kuala Langat akan dibawa ke dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sebelum ini turut mengadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi berbincang dan mendapatkan nasihat baginda.

“Saya dah kemukakan dalam mesyuarat MMKN, malahan secara peribadi saya dah mengadap dan mengemukakan kepada Sultan Selangor untuk mendengar serta mendapatkan pandangan baginda.

“Hari ini pula ada mesyuarat MMKN dan selepas itu saya akan membuat kenyataan berkenaan isu jalan dan beberapa isu lain termasuk papan tanda ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dato’ Menteri Besar bersama warga kerja SUK di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Sebelum ini, isu papan tanda jalan bahasa Mandarin menjadi hangat selepas mendapat bantahan beberapa pihak.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :