BERITA UTAMASELANGOR

Isytihar harta: Selangor sudah lama praktik

OLEH NAZLI IBRAHIM

SELAYANG, 7 JUL: Amalan mewajibkan pimpinan mengisytiharkan harta sudah lama dipraktikkan oleh pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, amalan mengisytihar harta mencerminkan kebertanggunjawaban pemimpin selain rakyat mempunyai hak untuk melihat sejauh mana kejujuran pemimpin apabila diberikan amanah dan kuasa.

Amirudin turut menyangkal dakwaan kononnya ia amalan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Inilah konsep yang saya percaya sangat rapat, sangat dekat dengan pentadbiran dan ketulusan kerana Islam menjamin hak untuk rakyat mengetahui dan melihat pemimpin itu adakah menjalankan amanah dan melaksanakan tugas dengan baik ataupun mengambil kesempatan daripada peluang yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Taman Templer dan Parlimen Selayang di Dataran Ilmu, Selayang Baru di sini, malam tadi.

Amirudin turut memetik kisah ketelusan kerajaan di bawah pentadbiran Saidina Umar Al Khattab apabila menguruskan harta rampasan perang.

“Saya telah menukilkan bagaimana kisah Saidina Umar Al Khattab yang ditanya tentang jubahnya sedikit panjang daripada selayaknya yang diperolehi sewaktu menyampaikan khutbah kerana kain yang mereka perolehi hasil daripada rampasan perang sepatutnya tidak panjang sedemikian rupa.

“Inilah bagaimana sikap Umar tidak marah, sebaliknya beliau menjelaskan bahawa kainnya itu lebih kerana dia menggunakan kain yang dimiliki oleh anak beliau iaitu Abdullah Umar yang turut berperang dan mendapat harta rampasan perang,” katanya.

Amirudin berkata, pengisytiharan Umar itu membuktikan bahawa Islam menuntut supaya pemimpin bertanggungjawab mengisytiharkan harta supaya setanding dengan kelayakan atau kemampuan yang dimilikinya.

 


Pengarang :