NASIONALPENDIDIKAN

Jaga adab ketika debat tips kejayaan Sekolah Antarabangsa ELC

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 7 JUL: Sentiasa menjaga adab ketika berdebat, itu antara tips peserta Sekolah Antarabangsa ELC Sungai Buloh yang memenangi kejuaraan Pertandingan Debat Piala Tunku Abdullah (TADC).

Guru pembimbingnya, Iris De Cruz berkata, perkara utama itu sentiasa dititikberatkan buat kesemua anak didiknya yang juga peserta debat.

 

“Ya memang kita akan cepat naik angin ketika berdebat, tetapi sebenarnya tips untuk berjaya memenangi pertandingan ialah tenang dan sabar serta menjaga sopan santun.

“Sikap gelisah atau cepat marah ketika berdebat hanya membuatkan kita hilang fokus, dan hari ini saya gembira apabila anak-anak murid berjaya merebut Piala TADC,” katanya kepada SelangorKini.

Selain berjaya merangkul anugerah utama TADC dan membawa pulang wang tunai RM15,000 beserta sijil juga piala, Sekolah Antarabangsa ELC Sungai Buloh juga berjaya memenangi Speaker Terbaik TADC bagi kategori wanita dan lelaki.

Iris berkata, beliau bersyukur dengan kemenangan berkenaan serta menganggap ia adalah hasil kerja keras pelajarnya.

“Sepanjang tempoh tiga minggu ini keenam-enam pelajar saya yang menyertai debat sanggup mengorbankan masa rehat, mereka sungguh komited.

“Saya berharap supaya mereka dapat menjadi pelajar contoh pada masa hadapan kerana berjaya mengharumkan nama sekolah,” katanya.


Pengarang :