KUALA LUMPUR, 30 Julai — Atlet boling negara Muhammad Rafiq Ismail (kiri) bersama Muhamad Syafiq Ridhwan selepas memenangi acara beregu lelaki pada Kejohanan Boling Antara Negeri Edisi ke-32 di Sunway Mega Lanes hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Jaguh boling negara terus menyerlah

PETALING JAYA, 30 JUL : Jaguh boling negara, Muhammad Rafiq Ismail terus menyerlah apabila merangkul pingat emas kedua pada Kejohanan Boling Antara Negeri edisi ke-32 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway, hari ini.

Selepas cemerlang dalam acara perseorangan semalam, pencapaian hari ini menyaksikan atlet berusia 22 tahun itu memberi harapan kepada skuad boling negara untuk mencatat keputusan positif pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November depan.

Pada Kejohanan Boling Antara Negeri itu, Rafiq memperoleh pingat emas pertama dalam acara perseorangan lelaki selepas melakukan 1,383 jatuhan pin, diikuti pingat emas kedua melalui gandingannya bersama Syafiq Ridhwan Abdul Malek yang merekodkan 2,687 jatuhan pin bagi acara beregu lelaki.

Pingat perak dimenangi gandingan Selangor diwakili Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Fisol yang melakukan 2,553 jatuhan pin, manakala pasangan Sarawak, Brandon Ting dan Chong Jun Foo meraih pingat gangsa selepas mencatat 2,510 jatuhan pin.

Mengulas mengenai prestasi hari ini, juara dunia 2018 itu yang mewakili pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), berterima kasih kepada pasangannya, Syafiq Ridhwan yang membantu beliau mendapatkan kembali ’sentuhan’ terbaik.

Rafiq bermula dengan agak perlahan pada dua permainan pertama apabila sekadar melakukan 166 jatuhan pin dan 157 jatuhan pin, namun pada permainan kelima, beliau melonjak melakukan 297 jatuhan pin yang membawa kepada kemenangan mereka.

Beliau seterusnya berharap dapat terus menampilkan aksi cemerlang bagi mempertahankan gelaran dimenanginya tahun lepas pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-43 di venue sama hujung minggu ini, yang juga pentas meraih tiket menyarung jersi negara pada Sukan SEA 2019.

Rafiq dan Syafiq Ridhwan akan bergandingan dengan Timmy Tan serta Muhammad Hafiz Zainuddin dalam acara berpasukan lelaki, esok.

Untuk rekod, selepas enam bulan pertama tahun ini tanpa sebarang gelaran, pada akhir Jun, Rafiq meraih gelaran pertama di kejohanan Terbuka Singapura, disusuli tiga kejuaraan sepanjang Julai pada Masters Jelajah Boling Eropah (EBT) Madrid, Terbuka Hong Kong dan Masters Jelajah Boling Asia di Hong Kong. -BERNAMA


Pengarang :