AGENDANASIONAL

JAKIM: Jangan tularkan isu hina Nabi

SHAH ALAM, 24 JUL: Netizen di negara ini dinasihatkan supaya tidak berkongsi status menghina Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Facebook, Wendy Loong.

Unit Pemantauan Isu Hina Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, hal itu kerana jika status itu masih dikongsikan di mana-mana platform, pihak berkenaan menjadi penyebar kepada penghinaan Nabi SAW.

“JAKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia menjaga keharmonian antara agama dan kaum di negara ini selaras dengan inisiatif pihak kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara Rahmah,” katanya dalam kenyataan.

JAKIM berkata, pihaknya menerima mesej aduan dalam jumlah yang banyak melalui aplikasi WhatsApp berhubung isu itu.

Pada masa sama, katanya, melalui semakan dan carian di Facebook didapati akaun berkenaan sudah tidak dijumpai.

“Ia sama ada ditutup atau dinyah aktif oleh Facebook. Sementara laman ‘Kiub Batu Itu Berhala’ di Facebook ditukar kepada status kumpulan tertutup khusus untuk ahli kumpulan tersebut sahaja,” katanya.

JAKIM menegaskan, usaha mengesan pemilik akaun itu tetap diteruskan dengan kerjasama agensi berkaitan.

Polis menerima 11 aduan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan mengenai entri menghina Nabi Muhamad SAW oleh pemilik akaun Facebook bernama Wendy Loong.


Pengarang :