AGENDANASIONAL

Jangan keluar kenyataan jejas keharmonian parti-KEADILAN Sabah

KOTA KINABALU, 21 JULAI: KEADILAN Sabah meminta supaya ahli pimpinannya tidak mengeluarkan kenyataan yang semakin menjejaskan keharmonian parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabahn Datuk Christina Liew berkata pimpinan parti itu sepatutnya perlu memberi sokongan padu kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan kemelut dan masalah yang melanda.

“Setelah berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat dan memegang majoriti kerusi parlimen pimpinan, ahli parti perlu fokus mengisi Malaysia Baharu dengan menjayakan agenda reformasi serta perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, MPN Sabah menyokong penuh kepimpinan Anwar dalam usaha menyatukan kembali pimpinan parti dan ahli yang sedang bergolak ketika ini.

Katanya, kenyataan Anwar perlu disokong supaya isu berkenaan tidak menjejaskan usaha untuk memulihkan ekonomi rakyat yang semakin meruncing ketika ini.

“Rakyat mahu kerajaan Pakatan Harapan menumpukan usaha kepada isu pembangunan dan peningkatan ekonomi dan bukannya dipaparkan dengan persengkataan pimpinan,” katanya.

Justeru, Christina mahu pimpinan terutama di Sabah dan ahli bersatu hati serta fokus kepada isu rakyat juga pemantapan cabang masing-masing.

-BERNAMA


Pengarang :