NASIONAL

JAS yakin dapat periksa 250 kilang di Pasir Gudang dalam dua hari lagi

 

JOHOR BAHRU, 10 JUL : Jabatan Alam Sekitar (JAS) yakin dapat menyelesaikan pemeriksaan terhadap 250 kilang di Pasir Gudang yang mengendalikan sisa buangan terjadual dan kimia dalam masa dua hari lagi, susulan insiden sesak nafas dan muntah-muntah di kawasan itu sejak 20 Jun lepas.

Pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata sehingga ini pihaknya telah melakukan 234 pemeriksaan dan mengambil beberapa tindakan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pemeriksaan itu dilakukan terhadap kilang-kilang yang berpotensi menyebabkan pencemaran, katanya.

“Dalam dua hari ia boleh dilakukan dan kita mahu teruskan momentum ini. Kalau boleh kita mahu meliputi kesemua kilang di Pasir Gudang dan bukan hanya 250 sahaja,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu terhadap enam buah kilang di Pasir Gudang, Selasa malam.

Menurutnya, antara tindakan yang telah diambil adalah mengeluarkan 119 kompaun bagi pengendalian buangan terjadual, 10 kompaun bagi kesalahan efluen industri, satu kompaun untuk loji kumbahan, 55 notis arahan, 11 perintah tahan operasi dan tiga tindakan syor mahkamah.

Sementara itu, Wan Abdul Latif berkata, malam tadi sebanyak tiga pasukan memeriksa enam buah kilang yang berpotensi menyebabkan pencemaran, melibatkan 75 anggota daripada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Jabatan Imigresen negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi operasi berkenaan juga MPPG mengenakan tindakan berhenti perniagaan terhadap sebuah kilang asing yang didapati beroperasi selama tiga tahun tanpa lesen, manakala pihak Imigresen pula menahan tiga pekerja warga asing lelaki kerana tidak mempunyai permit dan dokumen yang sah di kilang yang sama.

Beliau berkata fokus operasi yang dilakukan malam tadi adalah pada kilang yang mengendalikan sisa buangan terjadual dan kimia.

“Kita dapati juga ada kesalahan yang dilakukan oleh kilang-kilang itu di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh kita ambil tindakan, kompaun dan mahkamah, tetapi kita akan lihat dahulu hasil laporan keseluruhan dan penelitian oleh pegawai penyiasat.

“Operasi ini juga adalah proses untuk kita eliminate punca-punca pencemaran dan kalau ada (buangan terjadual) kita mahu mereka lupuskan. Setakat ini, mereka juga mendengar arahan kita,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :