NASIONAL

Jawatankuasa khas selaras pihak terlibat di Pasir Gudang

BERA, 3 JUL: Sebuah jawatankuasa khas bagi menyelaraskan pihak yang terlibat dalam isu pencemaran di Pasir Gudang di Johor akan dibentuk, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa itu dimaklumkan Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal pada perbincangan mereka semalam, dan akan diumumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri Johor.

“Jawatankuasa ini akan menyelaras semua pihak yang terlibat seperti Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan, pihak berkuasa tempatan dan juga Pejabat Tanah kerana mereka boleh merampas semula tanah jika pemilik premis itu menyewa.

“Jawatankuasa khas ini akan bertugas selama enam bulan bagi memastikan insiden pencemaran ini tidak berulang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Penggerak Dasar Komuniti Negara di Kompleks Rakan Muda Bera di sini, hari ini.

Zuraida juga memberi jaminan akan mengetengahkan dakwaan seorang bapa bahawa anaknya menghidap penyakit myo kimia disebabkan pencemaran toksik Sungai Kim Kim, Pasir Gudang kepada pihak terlibat termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Dakwaan bapa pelajar itu tular di laman sosial sejak semalam, dan dia mendakwa anaknya yang berusia 12 tahun tidak dapat berdiri dengan stabil dan dilihat mengigil selain perlu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur, menyebabkan dia berhasrat menyaman pihak berkuasa dalam isu tersebut.

Pada perkembangan lain, Zuraida berkata KPKT berharap lebih banyak NGO berminat untuk menyertai Penggerak Dasar Komuniti bagi mencapai sasaran kewujudannya di semua Parlimen menjelang 2020.

Katanya, setakat ini terdapat 70 NGO yang melibatkan diri dengan empat daripadanya di Pahang.

“Penubuhan pasukan ini di kawasan memudahkan jalinan program dilaksanakan dengan pihak berkuasa seperti polis dan bomba atau pihak lain kerana diberi latihan dan taklimat bagaimana mahu melaksanakan mesyuarat penyelarasan.

“Selain itu, kita juga berharap mereka ini boleh menjadi jurucakap yang menerangkan dasar kerajaan kepada setiap golongan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan berita tidak benar,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :