SUKANKINI

JBS Selangor sasar satu juta terbabit Bulan Sukan Negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JUL: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor menyasarkan seramai satu juta orang terbabit dalam Bulan Sukan Negara yang bakal disambut selama sebulan pada Oktober nanti.

Pengarahnya, Sabran Abd Bahar berkata, pihaknya kini sedang merancang pelbagai aktiviti akan diadakan pada bulan sukan itu.

“JBS Selangor sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program berkaitan belia, sukan dan rakan muda.

“Oleh itu, kita tidak teragak-agak untuk menyasarkan seramai satu juta orang akan turut serta dalam pelbagai program yang bakal dilaksanakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Sambutan Aidilfitri JBS Selangor diadakan di sini, hari ini.

Turut hadir memeriahkan sambutan adalah EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Difahamkan, seramai 300 orang memeriahkan sambutan Aidilfitri itu yang terdiri daripada kakitangan JBS Selangor, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

Selain itu, turut diadakan sambutan Apresiasi Fit Malaysia Selangor 2019 bagi meraikan jasa agensi dan NGO yang banyak membantu JBS Selangor sepanjang penganjuran program itu Mac lalu.

Antara agensi dan NGO berkaitan adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri Selangor, Pejabat Pembangunan Persekutuan Selangor serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Selangor.


Pengarang :