AGENDANASIONAL

Jho Low mahu akaun Najib dikenali dengan kod nama

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang juga dikenali sebagai Jho Low, mahu akaun bank Datuk Seri Najib Tun Razak dikenali dengan nama kod atas alasan kerahsiaan.

Perkara berkenaan didedahkan bekas pengurus perhubungan Ambank Berhad, Joanna Yu Ging Ping, 48, pada hari ke-41 perbicaraan kes Najib berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Semasa membaca kenyataan saksinya, Yu berkata, berdasarkan urusannya dengan portfolio pelanggan korporat, nama kod “AmPrivate Banking-MR” digunakan untuk akaun semasa, yang merupakan kali pertama akaun individu diberi nama kod.

“Nama kod digunakan berdasarkan permintaan yang dibuat Jho Low yang meminta agar akaun tersebut dikenali berdasarkan nombor akaun itu bukan dengan nama pemegang akaun untuk memastikan kerahsiaan.

“Saya kemudiannya memeriksa dengan bahagian operasi Ambank sama ada boleh dilakukan dan saya dimaklumkan bahawa nama kod itu boleh diberikan tetapi akaun itu masih mempunyai identiti pemegang akaun.

“Saya tidak pasti siapa yang memutuskan nama kod itu. Saya kemudian dimaklumkan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Ambank Group, Cheah Tek Kuang bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu telah dimaklumkan mengenainya,” katanya.

Mengenai akaun simpanan (nombor akaun 211-002-009048-1) dan akaun semasa (211-202-200969-4), Yu berkata, Najib mengeluarkan surat mandat bertarikh 10 Mac 2011.

Menurut surat itu, bank membenarkan Nik Faisal Ariff Kamil membuat pertanyaan bagi pihak Najib berhubung status dan maklumat akaun berkenaan, dan mengesahkan semua cek yang dikeluarkan pada jumlah melebihi RM250,000.00.

Surat itu juga menyatakan bahawa bank harus menjelaskan/mengesahkan semua cek yang dikemukakan sehingga RM250,000.00 tanpa merujuk kepada Najib dan/atau Nik Faisal.

Nik Faisal adalah bekas pengarah dan ketua pegawai eksekutif SRC.

Ketika ditunjukkan surat mandat bertarikh 10 Mac 2011 itu oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed semasa pemeriksaan utama, Yu mengesahkan bahawa surat itu yang dimaksudkannya.

Saksi ke-54 itu berkata, pada 2011, Najib mempunyai satu akaun simpanan, satu akaun semasa dan dua kad kredit dengan AmBank.

“Pada Jun atau Julai 2013, saya dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa Najib telah mengarahkan untuk menutup akaun simpanan dan akaun semasa itu serta membuka tiga akaun semasa baru untuk Najib.

“Saya kemudiannya memberikan borang yang diperlukan kepada Nik Faisal yang kemudiannya memulangkan borang lengkap diisi kepada saya yang mempunyai tandatangan Najib. Saya mengemukakan borang dan dokumen itu ke cawangan untuk tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Yu berkata tiga akaun semasa yang dibuka pada 2013 mempunyai nombor akaun berikut dan nama kod yang ditetapkan.

“211-202-201188-0 merujuk kepada AmPrivate Banking-1MY, 211-202-201190-6 bagi AmPrivate Banking-MY dan 211-202-201189-8 untuk AmPrivate Banking-Y1MY,” katanya.

Yu berkata berhubung dengan nama kod yang digunakan bagi tiga akaun semasa baharu, beliau dimaklumkan oleh Nik Faisal bahawa Najib telah mengarahkan AmBank untuk mengekalkan spesifikasi nama kod yang sama yang digunakan untuk akaun semasa yang dibuka pada 2011 untuk memastikan kerahsiaan.

Saksi itu berkata sejak 2010, beliau telah menguruskan akaun berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai antara kumpulan pelanggan korporat bank. Najib kemudian menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Yu berkata, beliau bertemu Jho Low pada 2008 sebelum menguruskan 1MDB.

Kepada soalan tambahan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram, Yu berkata selain Nik Faisal, beliau berkomunikasi dengan Jho Low mengenai perkara yang berkaitan dengan tiga akaun Najib.

Sithambaram: Kenapa menghubungi Jho Low yang bukan pemegang akaun atau pemegang mandat?

Yu: Beliau yang membantu semasa akaun dibuka….kerap menghantar pesanan berhubung butiran akaun Najib kepada saya.

Sithambaram: Terdahulu anda telah menghubungi Jho Low…siapa yang memberi anda mandat?

Yu: Ia diberikan pemegang mandat Nik Faisal.

Sithambaram: Siapa penandatangan tunggal untuk mengeluarkan cek daripada akaun semasa Najib?

Yu: Najib.

Kepada soalan lain, saksi itu berkata beliau tidak menerima sebarang aduan mengenai cek yang tidak dibenarkan dikeluarkan oleh mana-mana pihak ketiga bagi pihak Najib.

Sithambaram: Nik Faisal boleh mengeluarkan wang dari akaun Najib?

Yu: Tidak, dia tidak boleh.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – BERNAMA


Pengarang :