SELANGOR

Jom meriahkan Karnival 3W Sabtu ini

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 3 JUL: Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness) bakal menjelajah Padang Awam Batu Caves, Gombak dekat sini pada 6 Julai ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, karnival berlangsung seawal jam 7 pagi sehingga 10 malam itu kali ini memilih tema Hari Sifar Denggi dan Hari Bapa.

Katanya, ia bersesuaian dengan sambutan kedua-dua hari terbabit yang diraikan pada setiap Julai.

“Ayuh warga Selayang dan sekitarnya, kita meriahkan Karnival 3W pada Sabtu ini bertempat di Padang Awam Batu Caves, Gombak.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk anda, antaranya acara 10,000 langkah, demostrasi masakan, demostrasi pertahankan diri wanita, persembahan artis dan banyak lagi bersama Majlis Perbandaran Selayang,” tulisnya di Facebook.

Karnival 3W julung kali diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, pada 10 Februari lalu sebagai penambahbaikan daripada Karnival Sihat Selangor yang pernah diwujudkan sebelum ini.

Objektif pelaksanaan adalah untuk mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat.

Karnival itu juga akan menjelajah ke seluruh pihak berkuasa tempatan, pada setiap bulan dengan tema berbeza berdasarkan sambutan hari penting, pada bulan terbabit.


Pengarang :