AGENDANASIONAL

JPN lapor polis isu gambar ibu pejabat diserbu pendatang asing

PUTRAJAYA, 23 JULAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan polis berhubung penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabatnya, di sini diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap penulis blog dan pemilik akaun Facebook berkenaan kerana membuat tuduhan yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian negara.

“Tuduhan itu tidak benar sama sekali, malah gambar situasi orang ramai beratur adalah gambaran biasa ketika orang ramai berurusan di JPN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini.

Katanya, gambar yang ditularkan itu adalah gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai lalu yang dibantu unit khas Kerajaan Selangor, MySel.

Jasri berkata, mereka adalah orang awam dari Pulau Ketam yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran termasuk permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

Justeru, beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung isu berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :