AGENDANASIONAL

JPN luluskan 30,698 permohonan kewarganegaraan sejak 2013-2018

KUALA LUMPUR, 18 JUL: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah meluluskan 30,698 permohonan kewarganegaraan Malaysia antara 2013 hingga 2018.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman berkata, daripada jumlah keseluruhan 111,142 permohonan yang dibuat, sebanyak 26,222 permohonan telah ditolak manakala 54,222 lagi masih dalam proses.

Menurutnya, pemerolehan kewaeganegaraan adalah berdasarkan kategori kuatkuasa undang-undang, pendaftaran dan peneutralisasian.

“Setiap permohonan kewarganegaraan Malaysia diproses berdasarkan kepada prosedur pengendalian standard (SOP) yang diperincikan mengikut peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 [LN82/1964] serta perundangan berkaitan.

“Pertimbangan terhadap fakta dan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh pemohon dilaksanakan dengan teliti secara kes demi kes mengikut giliran sewajarnya sebelum keputusan dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dikemukakan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon pada Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Azis berkata, Kementerian Dalam Negeri sedang memuktamadkan pengemaskinian SOP berdasarkan kepada peruntukkan perundangan yang berkuat kuasa serta mengambil kira pelbagai aspek iaitu kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.


Pengarang :