AGENDA SUKANKINI

Jumlah atlet ke Sukan Sea 2019 diputus selepas mesyuarat pemilihan OCM

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Jumlah penyertaan atlet Malaysia pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini akan diputuskan selepas berakhirnya mesyuarat jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (OCM) yang akan berlangsung selama empat hari bermula Isnin depan (29 Julai).

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, bagaimanapun, memberi bayangan bahawa jumlah penyertaan atlet pada kali ini bakal mengatasi jumlah pada edisi 2019 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia menghantar 428 atlet dan 294 pegawai dan menyertai 39 acara.

Megat Zulkarnain menjelaskan jumlah penyertaan atlet negara bakal mengatasi jumlah di Korat memandangkan kontinjen Malaysia bakal menyertai 51 daripada 56 acara pada Sukan SEA 2019, katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pengurus-pengurus pasukan Sukan SEA ke-30 yang pertama di Wisma OCM, hari ini.

Mengulas lanjut, ​​​​​​Megat Zulkarnain berkata, mesyuarat berkenaan turut akan menentukan atlet yang diletakkan dalam kategori A atau kategori B.

“Kita juga telah mengingatkan kepada kesemua pengurus pasukan supaya dapat melakukan ‘entry by name’ sebelum 15 Ogos, namun kita juga menerima rayuan daripada satu atau dua persatuan sukan kebangsaan yang masih lagi mungkin tidak dapat melakukan ‘entry by name’ pada tarikh berkenaan kerana mereka akan ada kejohanan selepas tarikh tersebut.

“Saya telah dimaklumkan bahawa (Setiausaha Agung OCM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib akan mengadakan perbincangan dengan persatuan sukan berkenaan jika ada keperluan, tetapi persatuan sukan kebangsaan dinasihatkan untuk meletakkan entry by name selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet selesai,”jelas Megat Zulkarnain.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (Philsgoc) telah memaklumkan kesemua negara bertanding untuk menghantar nama atlet ke temasya sukan berkenaan sebelum tarikh akhir pada 1 September ini.

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain menjelaskan ​​​​ kesemua 13 pengurus persatuan sukan kebangsaan yang menghadiri mesyuarat berkenaan, sudah menyatakan persetujuan awal bahawa atlet di bawah selian masing-masing yang akan bertanding di kluster Subic akan menginap di perkampungan sukan di kluster Clark.

“Ini kerana perjalanan di antara perkampungan sukan ke Subic mengambil masa di antara 30-45 minit, jadi belum kita putuskan lagi.

“Kita akan duduk berbincang sekiranya masalah makanan halal itu tidak dapat diselesaikan di Subic, jalan keluarnya adalah atlet duduk di perkampungan sukan kerana makanan halal dan kafetaria dibuka 24 jam, jadi di situ (Clark) tiada masalah,” jelas Megat Zulkarnain.

Ditanya mengenai sasaran pingat pada Sukan SEA 2019, beliau berkata, perkara berkenaan akan diumumkan selepas berakhirnya mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet nanti.

Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember ini. – BERNAMA


Pengarang :