SELANGOR

Juruaudit dalaman perlu waspada jenayah kolar putih

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 JULAI: Juruaudit dalaman sektor awam perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran bagi mengesan jenayah kolar putih terutama dalam bidang kewangan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hal itu boleh diatasi melalui kemahiran perakaunan forensik dengan menyatakan fakta terperinci bagi sesuatu kes membabitkan wang.

“Saya ingin menyeru kepada juruaudit khususnya sektor awam supaya sentiasa keterhadapan ilmu pengetahuan terkini kerana pelaku jenayah kolar putih ini licik untuk memanipulasi sistem sedia ada.

“Setiap juruaudit perlu mendalami kemahiran perakaunan forensik bagi mengesan kerosakan yang dilakukan penjawat awam tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pengauditan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia, anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang turut dihadiri Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim, hari ini.

Katanya, audit dalaman juga bertanggungjawab membuat proses semak dan imbang serta menasihati oraganisasi untuk mematuhi amalan integeriri dan bebas dari penyalahgunaan kuasa.

Di samping itu, Sze Han berkata, juruaudit juga merupakan mata dan telinga kepada pihak pengurusan supaya aktiviti penyelewengan dapat dibenteras.

Seminar Pengauditan PBT Malaysia yang berlangsung selama dua hari sehingga 9 Julai ini disertai 157 kakitangan PBT dari seluruh negara bertemakan Meningkatkan Nilai Pengauditan Melalui Juruaudit, Prestasi dan Profesionalisme.

Berlangsung di Hotel Concorde, seminar itu adalah landasan berkongsi idea dan pengalaman pengurusan pengauditan serta menperkenalkan konsep asas analisa data serta isu terkini berhubung pengauditan prestasi projek di PBT.

Sebanyak lima kertas pembentangan dibentangkan menerusi tajuk ‘Urustadbir Pihak Berkuasa Tempatan, Peranan Audit Dalam’; ‘Pembudayaan Penggunaan Teknologi Dalam Proses Analisa Data-Isu dan Cabaran’ serta ‘Pengauditan dan Pelaporan Terhadap Prestasi Projek PBT-Cabaran dan Strategi’.

Tidak ketinggalan pembentangan bertajuk ‘Audit Susulan, Masihkah Relevan?’ serta ‘Penawar Derita Postural Stress’.

 


Pengarang :